Utusan Malaysia 9 Disember 2009
JELEBU 8 Dis. - "Sudah lama masalah ini berlaku di kawasan ini namun ia makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini."
JELEBU 8 Dis. - "Sudah lama masalah ini berlaku di kawasan ini namun ia makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini."

Itulah keluhan penduduk perihal tabiat kaki botol di sekitar kawasan Kampung Kerangai dekat sini yang bimbang gejala sosial di kalangan masyarakat setempat bercambah di kalangan generasi muda.
Walaupun ada undang-undang yang menyekat pembelian arak di kalangan orang ramai namun ia tidak cukup memberikan sebarang kesan kepada si kaki botol yang dilihat meminum minuman keras secara semberono.
Ketua Kampung Kerangai, Mohd. Halil Abas memberitahu, fenomena yang berlaku di kawasan itu sudah lama mendapat perhatian namun golongan kaki botol itu seolah-olah tidak faham dengan sensitiviti masyarakat beragama Islam.
Ujar beliau, kebanyakan kaki botol ini berasal dari penduduk Orang Asli namun ia dibimbangi akan melarat kepada muda-mudi yang ingin mencuba 'penangan' arak jenis murah itu.
"Biasanya mereka akan mula mendapatkan 'bekalan' sejak awal pagi lagi hingga ke malam. Sehinggakan ada di kalangan mereka sanggup membantu membuka kedai untuk mendapatkannya.
"Kebiasaannya mereka beramai-ramai akan minum di kawasan kedai kosong berdekatan sehingga mencetuskan rasa kurang selesa penduduk," katanya ketika ditemui di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung terbabit mendapati sebuah kedai lama yang dipanggil 'rumah hantu' oleh penduduk tempatan merupakan 'sarang kaki botol' untuk minum arak.
Berdasarkan maklumat harga arak yang dijual sekitar RM5 hingga RM20 dan istilah minum arak untuk mengajak rakan lain turut serta yang diguna oleh kaki botol terbabit ialah 'hamkem'.
Seorang penduduk, Adli Haminori, 34, berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, hanya dua sahaja kedai yang mempunyai permit menjual minuman keras itu tetapi hakikatnya terdapat juga kedai lain yang berbuat demikian.
Tambah beliau, lebih dari itu, ada juga premis menjual minuman keras di kawasan pusat siber yang mana orang ramai yang mengunjunginya boleh menikmatinya dengan mudah.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima kebanyakan minuman keras itu adalah jenis samsu yang dilihat lebih murah dan dibeli dengan mudah oleh orang ramai.
"Namun apa yang menjadi kebimbangan saya ialah sekiranya ia dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawalan, orang ramai boleh terjebak untuk membelinya secara sembunyi," ujarnya.
Bagi Mohd. Arif Jibir Wahab, 44, kegiatan seperti itu seharusnya diambil berat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyekatnya walaupun ada tindakan susulan telah diambil oleh pihak polis.
Jelas beliau, penjualan arak secara terbuka hanya akan menyebabkan masalah-masalah lain seperti kecurian, rogol dan sebagainya, di mana akan mencetuskan keadaan tidak selesa di kalangan penduduk.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm
0 comments:
Catat Ulasan